Notis Privasi SmartThings
Tarikh Berkuat Kuasa: 28 Disember, 2020
Samsung Electronics Co., Ltd. (“Samsung”), kami tahu betapa pentingnya privasi kepada pelanggan kami. Kami mewujudkan Notis Privasi ini untuk memastikan anda memahami bagaimana kami mengumpul dan menggunakan maklumat peribadi anda.
Dasar Privasi kami di https://account.samsung.com/membership/terms/privacypolicy juga terpakai untuk penggunaan SmartThings anda. Dasar Privasi kami mengandungi lebih banyak maklumat tentang cara kami menggunakan data anda. Ini juga termasuk maklumat tentang hak anda dan cara untuk menghubungi kami. Sila baca Dasar Privasi kami sebagai tambahan kepada Notis Privasi ini. Bagaimanapun, Notis Privasi ini akan selalu mendahului Dasar Privasi berhubung dengan cara kami menggunakan maklumat anda untuk SmartThings.
APAKAH MAKLUMAT YANG KAMI KUMPUL?
Melalui SmartThings, Samsung memperoleh dan mengekalkan maklumat tentang anda dalam pelbagai cara.
Maklumat yang Anda Berikan Secara Terus
- • Maklumat Akaun anda: SmartThings akan mengumpul maklumat akaun anda yang penting untuk memulakan dan memberikan perkhidmatan SmartThings kepada anda. Ini akan termasuk maklumat seperti nama, ID Samsung account, alamat e-mel, alamat surat-menyurat dan nombor telefon, nama pengguna serta kata laluan anda. Maklumat akaun anda bukan sahaja termasuk maklumat yang anda masukkan dalam aplikasi SmartThings untuk mencipta Samsung account, tetapi juga maklumat akaun dalam aplikasi daripada rakan perkhidmatan pihak ketiga yang membenarkan anda mengakses SmartThings.
Maklumat Penggunaan SmartThings Anda
Selain maklumat yang anda berikan, kami akan mengumpulkan maklumat tentang penggunaan SmartThings kami oleh anda melalui perisian pada peranti anda serta dengan kaedah lain. Kami akan mengumpulkan:
- Aplikasi, Maklumat Penggunaan: kami akan mengumpul maklumat penggunaan anda yang dicipta sewaktu penggunaan aplikasi SmartThings anda, seperti log aplikasi, kumpulan, peraturan dan nama lokasi serta maklumat konfigurasi yang lain.
- Maklumat Peranti IoT Rumah: Disebabkan SmartThings mungkin terdiri daripada beberapa set perkakasan rumah, sensor, hab SmartThings, lampu pintar,produk, kamera pengawasan rumah dan peranti lain yang bersambung dengan SmartThings (“Peranti IoT Rumah”), SmartThings juga akan mengumpul maklumat penggunaan berkaitan dengan Peranti IoT Rumah anda seperti model, nama, nama kumpulan atau nama timangan serta nama lokasi dan tetapan lain yang dipasangkan pada peranti, acara dan tetapan acara (sebagai contoh, jika anda menetapkan peringatan jadual untuk dipaparkan di Peranti IoT Rumah anda), maklumat sambungan rangkaian dan maklumat persekitaran rangkaian sekeliling, kod negara mudah alih, operator rangkaian mudah alih, versi OS, alamat IP dan IMEI, sensor dan data konfigurasi, ralat dan log malfungsi, pengenal pasti peranti (cthnya ICCID) dan nama peranti serta pengautomatan. Tujuan utama untuk memproses maklumat tersebut adalah untuk memberikan perkhidmatan yang anda minta (walaupun mungkin juga digunakan untuk analisis data dan untuk membolehkan kami memberikan komunikasi pemasaran tersuai, di mana anda telah memberikan persetujuan anda secara berasingan). Contoh yang berkaitan dengan penggunaan maklumat anda untuk memberikan anda perkhidmatan dinyatakan di bawah. Misalnya, apabila anda menggunakan sensor gerakan, SmartThings akan mengumpul maklumat yang dikesan oleh sensor,( seperti log yang menandakan terdapat pergerakan di rumah anda, bahawa lampu telah dihidupkan atau dimatikan secara automatik atau jika terdapat sebarang pergerakan yang tidak dijangka di rumah anda) untuk membolehkan amaran dihantar. SmartThings juga akan mengumpul maklumat penggunaan/tetapan perkakasan rumah anda yang bersambung dengan SmartThings, jika anda menghidupkan ciri-ciri ini. Misalnya, maklumat suhu di dalam peti ais anda, maklumat masa yang menunjukkan kepada anda berapa lama anda telah menggunakan penghawa dingin dan maklumat lain tentang fungsi yang anda pilih akan dikumpul, bukan sahaja untuk memaparkan status peranti/perkakasan melalui aplikasi mudah alih anda, tetapi juga untuk memahami penggunaan Peranti IoT Rumah anda agar kami boleh terus meningkatkan perkhidmatan SmartThings. Selain data peribadi yang disebutkan di atas, kami akan mengumpulkan dump logs anda, yang merupakan fail yang menyenaraikan kesalahan teknikal peranti anda. Dump Logs hanya akan digunakan untuk memberikan anda bantuan teknikal yang diperlukan dan untuk meningkatkan aplikasi SmartThings dan Peranti IoT Rumah.
- Klip Video dan Audio Dirakam oleh Kamera Pengawasan Rumah: Jika anda menyambungkan peranti rakaman video atau audio kepada SmartThings, SmartThings akan mengumpulkan klip video atau audio yang direkod oleh peranti tersebut, berdasarkan pilihan anda untuk memberikan perkhidmatan yang anda minta dalam aplikasi SmartThings.
- Gambar, klip video: Sekiranya anda memilih untuk berkongsi gambar atau klip video anda (tidak dirakam oleh Home Monitor Camera) yang disimpan pada peranti anda dengan pengguna atau peranti SmartThings yang lain, SmartThings akan mengumpulkan gambar dan klip video.
- Maklumat Suara: Sekiranya anda menggunakan perintah suara untuk mengendalikan SmartThings, maklumat tentang perbualan anda, termasuk perintah suara, akan disampaikan melalui pelayan SmartThings untuk memproses perintah anda.
- Maklumat Lokasi: Sekiranya anda bersetuju dengan pengumpulan dan penggunaan data lokasi, data geolokasi anda dikumpulkan untuk menyediakan perkhidmatan atau ciri yang memerlukan maklumat lokasi. Jika anda mahu berhenti memproses maklumat lokasi anda, anda boleh matikan dalam tetapan SmartThings.
- Maklumat TV Pintar: Jika anda menyambungkan TV Pintar Samsung pada SmartThings, maklumat tentang kandungan TV Pintar yang anda beli, termasuk baucar atau nombor kad hadiah serta maklumat yang membenarkan anda menetapkan peringatan dan pemberitahuan kalendar pada TV Pintar anda, akan dikumpul.
Kami juga akan mengumpul maklumat tentang TV Pintar anda dan peranti lain yang anda tambah dan sambungkan dengan aplikasi SmartThings dan Hab SmartThings, serta penggunaan peranti anda dengan cara yang akan kami jelaskan kepada anda pada waktu pengumpulan atau sebaliknya, dengan persetujuan berasingan anda.
Kami tidak mengumpul sebarang data peribadi sensitif daripada anda dengan sengaja. Bagaimanapun, sila ambil perhatian bahawa kami tidak dapat menjamin bahawa maklumat sensitif tidak dikongsi secara tidak sengaja dengan kami semasa anda menggunakan aplikasi SmartThings dan Peranti IoT Rumah, seperti kandungan rakaman audio atau video anda semasa anda menyambungkan peranti rakaman audio atau video ke SmartThings. Sekiranya anda menyerahkan maklumat sensitif kepada SmartThings, itu juga akan dikumpulkan dan diproses untuk tujuan yang disenaraikan di bawah, namun kami tidak akan menggunakan data tersebut untuk pemasaran, untuk memberikan cadangan yang disesuaikan, atau untuk peningkatan perkhidmatan kami.
Kami juga mungkin akan mengumpulkan maklumat lain tentang diri anda, peranti dan aplikasi anda serta penggunaan SmartThingsoleh anda dengan cara yang kami terangkan kepada anda pada waktu pengumpulan atau sebaliknya dengan persetujuan anda.
BAGAIMANAKAH KAMI MENGGUNAKAN MAKLUMAT ANDA?
Kami menggunakan maklumat yang dikumpulkan untuk tujuan yang berikut:
- untuk mengenal pasti anda dan pengesahan;
- untuk membolehkan anda mengawal Peranti IoT Rumah anda dalam aplikasi SmartThings;
- untuk memberikan perkhidmatan atau ciri yang anda minta dalam aplikasi SmartThings;
- untuk bertindak balas terhadap permintaan dan soalan anda, dan untuk berkomunikasi dengan anda tentang SmartThings;
- untuk menyediakan bantuan apabila anda meminta sokongan teknikal untuk aplikasi SmartThings atau Peranti IoT Rumah dan perkhidmatan penyelenggaraan yang lain;
- untuk memberikan anda perkhidmatan penyelenggaraan jarak jauh untuk ralat berkaitan dengan Peranti IoT Rumah yang bersambung dengan SmartThings, jika anda menghubungi pusat perkhidmatan pelanggan;
- untuk memautkan maklumat akaun anda atau sebaliknya berinteraksi dengan aplikasi terpilih, peranti, ciri dan perkhidmatan rakan perkhidmatan pihak ketiga;
- untuk mengendalikan, menilai dan memperbaiki perniagaan kami (termasuk membangunkan produk dan perkhidmatan baharu; meningkatkan dan memperbaiki produk, perkhidmatan kami dan SmartThings; menganalisis produk dan perkhidmatan kami, perkhidmatan dan dan pangkalan pelanggan dan perkhidmatan kami; melakukan agregat dan awanama data serta melakukan analisis data; dan menjalankan fungsi perakaunan, pengauditan dan fungsi dalaman lain);
- untuk memberikan cadangan tersuai berkaitan dengan Peranti IoT Rumah dan perkhidmatan atau ciri lain yang berguna;
- jika anda menghidupkan Perkhidmatan Penyesuaian dalam akaun Samsung anda, untuk menggunakan data terkumpul melalui aplikasi SmartThings bagi tujuan di sini. Anda boleh mendapat maklumat lebih lanjut tentang Perkhidmatan Penyesuaian kami dengan melayari di sini;
- jika anda mempunyai TV Pintar Samsung, untuk (i) membolehkan anda membeli kandungan digital TV Pintar, (ii) menyediakan sejarah kandungan digital TV Pintar yang dibeli, (ii) membenarkan anda menetapkan peringatan untuk kandungan digital TV Pintar, dan (iv) membolehkan anda untuk menerima pemberitahuan kalendar pada TV Pintar Samsung anda;
- di mana anda telah bersetuju secara berasingan untuk menerima komunikasi pemasaran daripada kami, kami mungkin menggabungkan maklumat tentang peranti anda dan Peranti IOT Rumah yang anda sambungkan ke SmartThings dengan data yang kami kumpulkan tentang anda daripada sumber lain, khususnya Samsung Account anda, untuk menyediakan pemasaran yang lebih relevan kepada anda;
- untuk mematuhi undang-undang, kewajipan peraturan, dan proses undang-undang; dan
untuk melindungi hak, harta benda dan/atau keselamatan Samsung Electronics atau mana-mana sekutu, rakan niaga dan/atau pelanggan kami.
DENGAN SIAPAKAH KAMI BERKONGSI MAKLUMAT ANDA?
Kami akan mendedahkan maklumat anda secara dalaman dalam perniagaan kami dan kepada entiti berikut, tetapi hanya untuk tujuan yang dinyatakan di atas.
- Rakan Sekutu: syarikat Kumpulan Samsung Electronics lain yang dikawal atau dimiliki oleh kami;
- Rakan niaga: rakan kongsi yang kami bekerjasama untuk menyediakan kepada anda SmartThings, seperti produk atau perkhidmatan pihak ketiga yang boleh anda sambungkan ke SmartThings supaya anda dapat mengawal produk atau perkhidmatan tersebut. Rakan niaga ini mengawal dan mengurus maklumat peribadi anda;
- Pembekal perkhidmatan: syarikat yang dipilih dengan cermat untuk menyediakan perkhidmatan untuk atau bagi pihak kami, seperti penyedia platform cloud yang menyimpan data bagi pihak kami. Pembekal-pembekal ini juga komited untuk melindungi maklumat anda;
- Pihak lain apabila dikehendaki oleh undang-undang atau yang diperlukan untuk melindungi SmartThings: sebagai contoh, ia mungkin diperlukan oleh undang-undang, proses undang-undang atau perintah mahkamah daripada pihak berkuasa kerajaan untuk mendedahkan maklumat anda. Mereka juga mungkin akan mendapatkan maklumat anda daripada kami bagi tujuan penguatkuasaan undang-undang, keselamatan negara, antikeganasan atau isu lain yang berkaitan dengan keselamatan awam;
- Pihak lain yang berkaitan dengan transaksi korporat: kami mungkin mendedahkan maklumat anda kepada pihak ketiga sebagai sebahagian daripada penggabungan atau pemindahan, pemerolehan atau penjualan atau sekiranya berlaku kebankrapan; dan
- Pihak lain dengan persetujuan anda atau atas arahan anda: sebagai tambahan kepada pendedahan yang diterangkan dalam Notis Privasi ini, kami mungkin akan berkongsi maklumat mengenai anda dengan pihak ketiga apabila anda menyetujui secara berasingan atau meminta perkongsian sedemikian.
KEMAS KINI UNTUK NOTIS PRIVASI INI
Notis Privasi ini boleh dikemas kini untuk memberitahu anda tentang perubahan dalam cara kami mengumpul dan memproses maklumat anda dalam SmartThings atau perubahan dalam undang-undang yang berkenaan. Tarikh pengemaskinian dokumen terakhir ditunjukkan di bahagian atas Notis Privasi ini.
Versi Akhir